mutakhir

Sedap kunyah 'suntong tutok'

Oleh Mohd Roji Kawi

TIDAK sah kalau tidak mengunyah ‘suntong tutok’ selepas mengerjakan solat sunat Tarawih, kerana itulah kudapan istimewa masyarakat Melayu di Kuching setiap Ramadan.

Suntong tutok yang cukup popular pada bulan Ramadan di Kuching adalah sotong kering yang dibakar dan diketuk dengan tukul sebelum dihidangkan.

Yahya Suhaili, 74, dari Perumahan Fasa 1, Petra Jaya, seorang penggemar setia kudapan istimewa itu berkata, baginya waktu malam pada bulan Ramadan seolah-olah tidak lengkap tanpa suntong tutok.

“Setiap malam selepas solat sunat Tarawih, saya pasti akan singgah di gerai suntong tutok yang terletak di depan Masjid Darul Hana, Kampung Patingan.

“Saya menggemari suntong tutok ini sejak muda lagi dan gerai di sini memang menjadi pilihan sejak dahulu,” katanya.

Seorang penjual suntong tutok, Dayang Zunika Abang Adenan, 50, berkata, suntong tutok jarang dijual pada bulan lain kecuali Ramadan.

Dia yang mengusahakan gerai menjual kudapan itu sejak 20 tahun lalu mengakui pernah cuba menjualnya di luar bulan Ramadan, namun tidak menerima sambutan.

“Berbeza keadaannya apabila tiba waktu Ramadan, orang ramai akan datang mencari suntong tutok kerana sudah menjadi tradisi, ia dijual sepanjang bulan ini.

“Bukan sahaja penduduk setempat yang mencari suntong tutok malah ada yang tinggal jauh termasuk di Kuala Lumpur akan memesannya menerusi rakan,” katanya.

Malah ketika penulis menemubual Dayang Zunika, bapa penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah, menghubunginya dan menyampaikan pesanan penyanyi itu yang mahukan suntong tutok dihantar kepadanya di Kuala Lumpur.

“Dayang Nurfaizah memang tidak pernah ketinggalan memesan suntong tutok saya sejak beliau bergelar penyanyi. Setiap tahun pasti beliau meminta keluarganya menghantar kudapan itu,” katanya.

Dayang Zunika yang dibantu anaknya, Mohd Asmaan Ali, 20 berkata, selain diketuk dengan tukul, ada juga sotong kering yang digiling menggunakan mesin khas.

“Sotong yang diketuk secara tradisi, rasanya lebih padat manakala yang digiling pula agak lembut dan mudah dikunyah.

“Sebenarnya rasa sotong ini sama sahaja di gerai mana pun kerana kebanyakan sotong kering itu kami beli dari pengedar yang sama, cuma yang membezakannya ialah sambal,” katanya sambil memaklumkan sambal yang dihasilkannya adalah resipi rahsia yang diperturunkan ibunya.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 11:14am
d