mutakhir

Pelakon menang Unduk Ngadau 2018 [METROTV]

Oleh Avila Geraldine

PELAKON dan penyampai televisyen, Hosiani James Jaimis dari Inanam mengalahkan 45 peserta lain dalam pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik Kaamatan sempena sambutan kemuncak Pesta Kaamatan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di Penampang, malam semalam.

Gadis Dusun berusia 25 tahun itu mengambil alih gelaran berprestij dikaitkan dengan legenda Huminodun yang melambangkan pengorbanan wanita Dusun daripada Unduk Ngadau tahun lalu, Kerinah Mah.

Upacara penyempurnaan gelaran Unduk Ngadau itu dilakukan isteri Timbalan Ketua Menteri Sabah Datin Seri Dr Jaina Sintian.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab yang menjadi sebahagian penilaian pemenang Unduk Ngadau, Hosiani membuktikan kebolehannya berbahasa Dusun dengan fasih hingga mendapat sorakan orang ramai yang menyaksikan pertandingan.

Ketika itu, Hosiani ditanya dalam bahasa Dusun mengenai pendapatnya berkaitan tema sambutan Kaamatan pada tahun ini iaitu Kebudayaan Asas Perpaduan dan Persaudaraan.

“Melalui Pesta Kaamatan, rakyat berbilang etnik dari daerah lain datang untuk sama-sama memeriahkan sambutan. Ini satu cara kita boleh mencapai asas budaya itu,” katanya

Sebagai pemenang, Hosiani membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM86,050 termasuk wang tunai, trofi, biasiswa pendidikan Kolej Universiti Borneo Utara (NBUC) dan Kolej Pelancongan Antarabangsa Asia (ATI).

Beliau turut membawa pulang sebuah kereta Subaru, produk kecantikan serta tiket penerbangan pergi balik ke Mulu, Sarawak.

Sementara itu, Unduk Ngadau Penampang, Sherrylyn Jane Rannytho menduduki tempat kedua, manakala wakil dari Putatan, Vanessa Audrey Gilbert memenangi tempat ketiga.

Pertandingan Unduk Ngadau adalah acara penting Kaamatan diilhamkan daripada legenda Huminodun, iaitu kisah gadis yang dikorbankan ayahnya, Kinoingan bagi menyelamatkan masyarakat Dusun daripada bencana kekurangan makanan.

Berdasarkan legenda, selepas Huminodun dikorbankan, hasil tanaman seperti padi memberikan tuaian yang banyak dan atas sebab itu jugalah Kaamatan disambut masyarakat Kadazandusun Murut iaitu untuk mensyukuri hasil tuaian yang diperoleh.

Ketika ini, selepas dinobatkan sebagai Unduk Ngadau, penerima gelaran itu kebiasaannya terbabit dalam kerja sosial dan kebajikan, selain membantu mempromosi pelancongan di Sabah.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 12:15pm
d