mutakhir

Tiada rekod keluar Musa Aman, Jamal Yunos [METROTV]

Oleh Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail

JABATAN Imigresen mengesahkan tiada rekod keluar negara ditemui bagi dua individu iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata, kedua-dua mereka juga sudah disenarai hitam daripada keluar negara.

“Kita tidak tahu di mana mereka berada sekarang. Setakat ini, kami tiada rekod keluar bagi kedua-dua mereka.

“Jika mereka keluar menerusi pintu tidak sah, itu menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, mengikut Akta Imigresen 1959/1963, mereka yang disabitkan dengan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu memburu Jamal yang dipercayai melarikan diri ke negara itu.

Dalam satu rakaman video berlatar belakangkan kebun kelapa sawit, Jamal meminta Muhyiddin memberi jaminan perlindungan kepadanya kerana mendakwa dirinya dianiaya.

Sebelum itu, Jamal juga tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas berjanji tampil memberi kerjasama kepada pihak polis bagi membantu beberapa kes termasuk dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak umum.

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial Facebook pula mendakwa melihat kelibat Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Pengguna Facebook yang dikenali sebagai Az Eem itu turut memuat naik video berdurasi 10 saat yang kemudian turut viral.

Video itu yang dimuat naik kelmarin dengan keterangan: ‘Ex-cm Sabah spotted at St Pancras, London. Rafizi Ramli INVOKE Malaysia’ (bekas CM (Ketua Menteri) Sabah dilihat di St Pancras, London).

Musa dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa di Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Tindakan itu berhubung siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Berita berkaitan

Ada sang pendendam 'memburu' saya - Jamal Yunos [METROTV]

Musa Aman di London? [METROTV]/a>

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 1:38pm
d