mutakhir

KJ tanding Naib Presiden UMNO

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan akan datang parti itu.

Ahli Parlimen Rembau terbabit mengesahkan perkara itu ketika ditemubual South China Media Post (SCMP) di Pejabat Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , pagi tadi.

Malah, Khairy turut mengulang siar status Twitter wakil wartawan media terbabit di akaun Twitter rasminya sekali gus menolak dakwaan beliau akan bertanding bagi jawatan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO.

Pemilihan UMNO kali ini menyaksikan semua jawatan tertinggi parti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden bakal dipertandingkan.

Keputusan semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan dibuat susulan kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata, pendaftaran pencalonan untuk pemilihan parti bagi semua jawatan, bermula hari ini.

Beliau berkata, pemilihan kali dilaksanakan melalui konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak lain.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan tiga kaedah diguna pakai untuk pendaftaran pencalonan iaitu melalui atas talian bermula 1 Jun sehingga 17 Jun depan.

Jika pendaftaran atas talian tidak berjaya mereka boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian. Borang pendaftaran boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Ibu pejabat UMNO juga akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 5:25pm
d