mutakhir

'Temui ajal dalam rumah berkunci'

Oleh Farah Suhaidah Othman

MAYAT lelaki dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu ditemui dalam bilik di sebuah rumah di Taman Aur Mesra, Taiping, hari ini.

Mayat Eng Lam, 55, ditemui selepas pihak bomba berjaya membuka pintu rumah itu yang berkunci selepas keluarganya mengesyaki sesuatu berlaku apabila gagal menghubungi mangsa.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari lalu.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa turut mendapati tiada unsur jenayah, selain tiada kesan rumah dipecah masuk.

“Polis meminta bantuan anggota bomba bagi memecahkan pintu rumah mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan polis masih menunggu laporan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga mangsa pada 11.12 pagi sebelum bergegas ke rumah berkenaan.

“Mangsa ditemui dalam sebuah bilik dalam keadaan terbaring dan disahkan maut oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, anggota bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 5:25pm
d