mutakhir

'Penjara 40 tahun, 24 sebatan buat bapa durjana'

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan terhadap ejen unit amanah yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu merogol dan meliwat anak perempuan kandungnya, Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki, 37, (perayu) selepas membenarkan rayuan peguam Tiu Foo Woei dan Rajesh Nagarajan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilinya ke atas hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya.

Pada 8 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan atas 623 tuduhan pelbagai kesalahan seksual terhadap anak kandungnya.

Pada prosiding hari ini, mahkamah bagaimanapun hanya membuat keputusan ke atas dua pertuduhan saja selepas meneliti transkripsi rakaman audio serta video (CRT) ketika prosiding pengakuan bersalah yang direkodkan pada 25 Ogos tahun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi mengetahui status baki 621 pertuduhan yang lain.

Terdahulu, bagi pertuduhan merogol mangsa, Azman menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 12 sebatan berbanding hukuman penjara 28 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya sebelum ini.

Manakala bagi pertuduhan meliwat, tertuduh dihukum penjara 16 tahun dan 12 sebatan berbanding penjara 20 tahun yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan menjadikan hukuman penjara selama 40 tahun dan 24 sebatan bermula dari tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Perayu memfailkan rayuan untuk mengurangkan hukuman itu pada Oktober tahun lalu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Putrajaya menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah merogol, meliwat dan penganiayaan seksual terhadap anak perempuannya.

Hakim Yong Zarida Sazali memerintahkan dia menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 26 Julai 2017.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan, menjalani kaunseling pemulihan selama 10 tahun dan mengikuti pengawasan polis selama tiga tahun selepas keluar penjara.

Kes itu mendapat perhatian awam apabila lelaki itu didakwa atas 623 kesalahan, termasuk satu kes rogol, 591 kesalahan liwat dan 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya serta satu kes penganiayaan seksual.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di bilik tidur rumahnya di Sungai Way, Petaling Jaya sejak Januari tahun lalu hingga Julai tahun lalu.

Bagi semua pertuduhan meliwat, dia dituduh melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap anak perempuannya pada Januari hingga 20 Julai 2017, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu juga didakwa atas 30 pertuduhan melakukan seksual fizikal dengan cara menyentuh anak sulungnya pada 11 Julai hingga 20 Julai 2017, mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dia juga didakwa melakukan penganiayaan seks terhadap mangsa di antara 1 Januari hingga 21 Julai tahun lalu, mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2016.

Lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, pada 2 petang 21 Julai tahun lalu mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Semua pertuduhan mengikut kanun dan akta berkenaan membawa hukuman penjara dan sebat.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 6:20pm
d