mutakhir

GIACC pantau tadbir urus, integriti dan antirasuah

Oleh BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menubuhkan Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan bahawa Perdana Menteri bersetuju melantik bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk menerajui GIACC.

Menurut kenyataan itu, GIACC akan bertanggungjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui Perdana Menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu, katanya.

“Kesemua cadangan penambahbaikan oleh GIACC itu akan dibentangkan di Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk diputuskan,” kata Pejabat Perdana Penteri.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, JKKMAR yang bakal ditubuhkan bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).

JKKMAR akan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) yang bakal digubal, katanya.

“Penubuhan GIACC ini tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang dan tanggungjawab dengan agensi-agensi sedia ada,” menurut kenyataan itu,

Pejabat Perdana Menteri berkata agensi-agensi tersebut sebaliknya akan distruktur semula agar lebih efektif atau dibubarkan mengikut kesesuaian dengan mengambil kira penubuhan GIACC.

Mengenai Abu Kassim yang menerajui GIACC, menurut kenyataan itu, beliau berpengalaman luas dalam bidang tadbir urus, integriti dan anti-rasuah sama ada di dalam dan luar negara.

Abu Kassim ketika ini turut menganggotai Pasukan Khas Siasatan 1MDB dan pakar di International Anti-Corruption Academy, Austria.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 6:31pm
d