mutakhir

Singapura mohon penjelasan pembatalan HSR

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

SINGAPURA meminta Malaysia memberi penjelasan berhubung kedudukan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutannya Khaw Boon Wan menerusi kenyataan media berkata, kerajaan Singapura menggunakan saluran diplomatik bagi mendapat maklumat laporan berhubung keputusan menamatkan projek HSR.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kepada kerajaan bahawa Singapura masih menanggung kos projek berkenaan, sementara menunggu penjelasan daripada Malaysia.

“Sekiranya Malaysia menamatkan projek berkenaan, Singapura akan mengkaji implikasinya dan melaksanakan hak kami termasuk menuntut ganti rugi untuk kos yang sudah dibelanjakan mengikut terma perjanjian bersama HSR.

“Ketika Malaysia mencadangkan pembinaan HSR pada 2013, pihak kami bersetuju kerana yakin dengan manfaat projek itu kepada Singapura.

“Kami masih yakin HSR adalah demi kepentingan bersama terutama untuk ekonomi dan persahabatan serta persefahaman kedua-dua negara,” katanya hari ini.

Katanya, Singapura akan terus menyokong projek HSR dan melunaskan tanggungjawabnya mengikut perjanjian.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya boleh diteruskan sekiranya Malaysia menyokong dan melaksanakan perjanjian di pihak mereka.

“Sehubungan itu, Singapura menantikan penjelasan daripada Malaysia berhubung kedudukan negara berkenaan terhadap projek HSR,” katanya

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 8:30pm
d