mutakhir

Turun harga makanan, minuman [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

SEMUA harga makanan dan minuman di 24 rangkaian Restoran Nasi Kandar Pelita di seluruh negara turun antara 10 sen hingga 30 sen berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bermula 12 tengah malam tadi.

Penurunan harga itu memberikan lebih kepuasan kepada penggemar nasi kandar terutama peminat roti canai dan teh tarik untuk menikmati makanan serta minuman dengan harga lebih rendah.

Pengarah Urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd, Datuk Sihabutheen Kirudu Mohamed, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan GST pada kadar sifar dan menjangkakan lebih ramai pelanggan akan berkunjung ke restoran mereka, sekali gus meningkatkan jualan.

Beliau berkata, penggemar roti canai dan teh tarik sebelum ini menyatakan mereka tidak dapat menikmati juadah itu dengan kerap kerana harga barangan semakin naik.

“Jadi, dengan adanya GST pada kadar sifar ini, kami menurunkan harga semua makanan dan minuman pada kadar 10 hingga 30 sen.

“Ini membolehkan pelanggan lebih gembira untuk menikmati makanan di restoran kami di seluruh negara,” katanya pada sidang media di Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Taman Chai Leng, Butterworth, hari ini.

Beliau berkata, Pelita mempunyai 24 cawangan membabitkan 14 di Kuala Lumpur dan Lembah Klang manakala 10 cawangan di wilayah utara iaitu lapan di Pulau Pinang manakala dua lagi di Kulim dan Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Sihabutheen turut memohon kerjasama daripada pihak pembekal dengan turut melaksanakan GST pada kadar sifar.

Beliau berkata, apabila pihak melaksanakannya, ia akan lebih menggembirakan semua khususnya pelanggan.

“Pada masa sama, kami ingin menegaskan restoran Pelita sentiasa mengutamakan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelanggan.

“Malah, semua rangkaian restoran Pelita mendapat pengiktirafan dari segi aspek kebersihan yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 9:01pm
d