mutakhir

Maut dilanggar bas sekolah

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 35.2 Jalan Sungai Petani-Baling di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi, Mohamad Hishamuddin Suhadi, 27, gagal diselamatkan selepas meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Baling untuk urusan penghantaran kad prabayar kepada pelanggan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa berlanggar dengan bas sekolah yang keluar dari simpang selepas membuat pusingan untuk berpatah balik ke arah Kuala Ketil.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Baling namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 7:11am
d