mutakhir

'Tak cukup bajet'

Oleh Amir Abd Hamid

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti langkah terbaik bagi mengatasi kekurangan di setiap hospital di seluruh negara termasuk isu keselamatan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau mengakui kebanyakan hospital lama ada beberapa isu keselamatan, malah menyedari sebahagiannya tiada Sijil Perakuan Bomba (FC).

“Saya diberikan penerangan oleh pimpinan tertinggi kementerian, ketua jabatan dan setiausaha bahagian mengenainya.

“Kementerian perlu akui ada antara hospital lama yang sampai waktunya diperbaharui peralatan, sistem pendawaian dan sistem sokongan keselamatan kebakaran.

“Ini termasuk peralatan yang melepasi tarikh luput, tetapi masih digunakan di hospital. Kita tidak mahu kejadian seperti di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berulang,” katanya dalam temu bual khas bersama Skuad Khas Harian Metro di pejabatnya di sini.

Menurut beliau, isu yang timbul dari aspek keselamatan itu berkait rapat dengan peruntukan ataupun dana kepada kementerian.

“Sebab itu, saya sebelum ini mengumumkan kementerian sedia menuntut dana atau peruntukan lebih daripada kerajaan bagi mengatasi pelbagai masalah termasuk aspek keselamatan.

“Bajet yang datang peluang terbaik untuk buktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan. Saya selaku menteri bertanggungjawab tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan sebelum ini.

“Apa yang penting kesediaan mengetahui tahap penyediaan perkhidmatan sedia ada perlu diteliti dan diambil tindakan segera,” katanya.

Ditanya mengenai status beberapa hospital seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), HSA dan Hospital Kajang yang diibaratkan segelintir pihak seperti bom jangka, Dr Dzulkefly berkata, beliau yang baru mengambil alih kementerian berkenaan perlu mengakuinya.

“Saya akui penyediaan perkhidmatan di bawah kementerian disediakan merangkumi tiga elemen penting iaitu mampu, berkualiti dan selamat.

“Selamat itu bukan semata-mata dari segi ubat-ubatan, tetapi merangkumi aspek fizikal seperti bangunan, peralatan dan sistem sokongan kebakaran.

“Saya mahu pastikan di semua (hospital) negeri di seluruh negara.

“Malah, saya sudah berhubung dengan pengarah hospital di setiap negeri. Semua pengarah juga teruja untuk saya datang dan saksikan sendiri.

“Satu, dari segi kebaikan serta perkhidmatan yang mereka sediakan dan kedua, mengenai kekurangan yang mereka mahu kita (kementerian) beri tumpuan dan atasinya dengan suntikan kewangan,” katanya.

Bagi memastikan tragedi kebakaran seperti di HKL dan HSA tidak berulang, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya mahu perhatian serius diberikan kepada isu berkenaan.

“Apabila kementerian kesihatan (sebelum ini) tidak diberikan keutamaan seperti sepatutnya mengikut ukuran dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini kesannya.

“Saya mahu peruntukan walaupun kemelut kewangan negara berlaku. Sektor kesihatan dan pendidikan perkara yang tidak boleh kita kompromi.

“Bila berlaku ketidakcekapan dan kekurangan dana, maka ia menjejaskan banyak perkara seperti kekurangan doktor, peralatan, bangunan lama dan usang. Kita tidak mahu jadi seperti pepatah, sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 7:17am
d