mutakhir

Rahsia ayam dara

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Campuran rempah asli seperti serai, halia dan lengkuas membangkitkan aroma hidangan nasi kukus ayam dara berempah di gerai di Bazar Ramadan Seksyen 17/1A, Petaling Jaya di sini, diusahakan pasangan suami isteri Wan Zawawi Wan Ramli, 35, dan Fauziana Ahmad Fuad, 30.

Wan Zawawi berkata, mereka mula menjual nasi kukus ayam dara itu sejak lapan tahun lalu dan dimasak menggunakan resipi dihasilkan sendiri.

Katanya, ada dalam kalangan pelanggan yang membeli ayam sejuk beku sudah siap diperap daripadanya untuk digoreng sendiri
di rumah kerana meminati keenakan rasanya.

“Daging ayam sudah dibersihkan diperap pada jam 11 pagi dan digoreng di gerai pada jam 3.30 petang. Setiap hari sepanjang Ramadan, kami jual 200 bungkus nasi kukus ayam dara berempah.

“Kami menggunakan bahan asli tanpa campuran sebarang pengawet atau pewarna, mungkin sebab itu ramai pelanggan khasnya yang tinggal sekitar Petaling Jaya, meminati hidangan ini,” katanya yang juga peserta program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menurutnya, bagi memastikan kualiti makanan terjamin dan memberikan kepuasan kepada pelanggan, hanya daging ayam segar saja akan digunakan.

Dia merakamkan penghargaan kepada Coca-Cola kerana memilihnya untuk mengertai program itu, sekali gus mendorongnya untuk mengembangkan lagi perniagaan diusahakan sekarang.

“Pasti gerai kami akan mendapat lebih perhatian menerusi publisiti hasil inisiatif Cola-Cola KU. Program seperti ini mampu memperkasakan lagi usahawan kecil seperti saya,” katanya.

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan menjelang 2020.

Di Malaysia, program 5by20 adalah program Coca-Cola KU di mana usahawan tempatan akan diberi sokongan dalam bentuk latihan pengurusan perniagaan dan pendedahan mengenai pertumbuhan perniagaan yang sewajarnya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 8:19am
d