mutakhir

Harga rokok kekal

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

HARGA jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar mulai semalam.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan di Putranaya, hari ini berkata, kerajaan berpendirian dan menegaskan bahawa harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok tidak boleh diturunkan.

"Ini kerana ia (rokok) adalah produk yang membahayakan kesihatan dan sebarang penurunan harga jualan runcit akan dianggap sebagai suatu bentuk promosi secara tidak langsung serta bertentangan dengan Peraturan 5A, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Pengekalan harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok juga adalah selaras dengan komitmen antarabangsa di bawah Artikel 6, World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control yang mengiktiraf langkah percukaian dan mekanisma kawalan harga adalah berkesan dalam menurunkan permintaan terhadap hasil tembakau," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk melaksanakan GST pada kadar sifar bermula 1 Jun 2018 dan akan digantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai September 2018.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 11:24am
d