mutakhir

Siasat 'fail merah' 1MDB [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

‘FAIL MERAH’ yang mengandungi dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang disiasat oleh syarikat perakaunan dan audit dalaman yang dilantik Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tidak ada had masa diberikan kepada penyiasat untuk menyelesaikan tugas itu tetapi membayangkan ia akan diselesaikan secepat mungkin.

Beliau berkata, semua dokumen dalam fail berkenaan yang sebelum ini hanya boleh diakses oleh orang tertentu akan diperiksa secara komprehensif.

“Proses siasatan fail merah ini masih dijalankan dan terlalu awal untuk kita dapatkan maklum balas mengenainya. Kita perlu beri masa kepada syarikat perakaunan dan audit dalaman untuk jalankan siasatan lebih komprehensif.

“Saya juga yakin siasatan ini akan dimuktamadkan secepat mungkin, walaupun tiada had masa ditetapkan kepada pasukan penyiasatan fail merah ini,” katanya pada sidang media, di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC) dan Kerajaan Perancis di Bangunan UAB.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan fail merah yang ditandakan rahsia yang hanya boleh diakses pihak tertentu dan cuba disorokkan kerajaan terdahulu yang dikatakan mengandungi dokumen berkaitan urus niaga dan kewangan 1MDB.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut berterima kasih kepada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang yang menyumbang 10 peratus daripada gaji barisan EXCO kerajaan negeri ke Tabung Harapan Malaysia (THM).

“Inisiatif ini juga diikut oleh beberapa negeri lain dan kita sangat terharu apabila pentadbiran kerajaan negeri menyokong usaha murni untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara yang terbeban dengan jumlah hutang mencecah RM1 trilion.

“Bagaimanapun, tiada jangka masa ditetapkan bagi kutipan derma melalui THM ini tetapi pentadbiran Kerajaan Persekutuan tahu bila waktu sesuai untuk memaklumkan tarikh akhir inisiatif ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 2:27pm
d