mutakhir

'Ibu Kutu aniaya kami'

Oleh Ahmad Ismail

HASRAT sembilan wanita berbelanja menjelang Hari Raya dengan laba pelaburan sebanyak RM30,000 berkecai akibat seorang wanita di kenali sebagai 'ibu kutu', kini menghilangkan diri.

Sehubungan itu, semua mangsa yang kebanyakannya adalah suri rumah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, dengan masing-masing mendakwa kerugian antara RM200 hingga RM4,500.

Suri rumah, Rahmah Mohd Ali, 45, dari Kampung Jawa, dekat Segamat berkata, semua wang pelaburan asas itu dimasukkan ke akaun suspek, selain ada yang menyerahkan sendiri di rumah wanita terbabit.

Katanya, mereka mengenali wanita wanita berusia 30-an itu menerusi Facebook kira-kira empat bulan sebelum dipelawa membuat pelaburan dengan janji memperoleh keuntungan berlipat ganda dalam tempoh yang singkat.

"Wanita itu hanya mahu dikenali dengan gelaran ‘Ibu Kutu’. Wanita itu menjanjikan laba saham sekurang-kurangnya empat kali ganda daripada pelaburan pokok.

“Malah, kami juga pergi kediaman wanita itu yang secara tidak langsung meyakinkan bahawa pelaburan itu selamat," katanya ketika NSTP.

Rahmah berkata, ada antara peserta kutu yang melakukan pelaburan ratusan ringgit sudah menerima dividen dua kali ganda dari asas pelaburan sebelum wanita itu gagal di hubungi dan menghilangkan diri dari kediamannya, sejak dua minggu.

Katanya, pintu rumah wanita berkenaan berkunci

selain maklumat jiran berhampiran tidak melihatnya sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, setakat ini berdasarkan maklumat daripada kumpulan WhatsApp, dia mendapati sekurang-kurangnya 30 orang menjadi mangsa wanita terbabit sehingga menyebabkan kerugian beratus ringgit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pihaknya siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Segamat 07-9312222,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 4:28pm
d