mutakhir

Guan Eng 'petik' angka tak tepat - Najib

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

DATUK Seri Najib Razak membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang didakwa terus memberikan angka tidak tepat berkaitan hutang negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kos projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Guan Eng wajar memberikan angka yang tepat kerana pasaran kewangan amat bergantung kepadanya dalam membuat keputusan selain bagi mengelak rakyat keliru.

Beliau mendakwa sejak minggu lalu, Menteri Kewangan itu berterusan memetik pelbagai angka tidak tepat dan berbaur politik.

“Awalnya, beliau mengejutkan pasaran saham dengan menyatakan hutang negara berjumlah RM1 trilion tanpa memberikan penjelasan. Hanya selepas dipersoal pelbagai pihak termasuk saya, dia akhirnya memberi penjelasan bahawa hutang rasmi negara kekal RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Angka 50.8 peratus ini juga paling rendah dalam tempoh 10 tahun ini dan jauh lebih rendah daripada 103.4 peratus yang dicapai pada masa lalu di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Akibat kenyataan yang tidak sepatutnya itu, membawa kepada kejatuhan bursa saham minggu ini, selama 18 hari berturut-turut aliran keluar modal asing,” katanya dalam catatan terbaru di Facebook rasminya, hari ini.

Najib berkata Guan Eng juga bertegas bahawa projek HSR antara Malaysia-Singapura yang kini dibatalkan membabitkan kos RM110 bilion, walaupun kerajaan Singapura dan Malaysia sebelum ini menganggarkan kos maksimumnya RM72 bilon termasuk kos pengambilan tanah.

“Beliau (Guan Eng) mendakwa peningkatan angka RM110 bilion ini termasuk kos kadar faedah. Bagaimana dia boleh memberikan angka tidak jelas ini sedangkan tender antarabangsa ini memerlukan pihak terbabit mengemukakan cadangan pakej kewangan hanya ditutup pada Disember 2018.

“Dalam perbincangan sebelum ini, semua pihak yang mengambil bahagian dalam projek ini pada awalnya menyatakan mereka boleh mencadangkan pakej kewangan dengan faedah rendah, malah tanpa faedah seperti ditawarkan kepada India,” katanya.

Najib berkata, Kementerian Kewangan juga terus mengabaikan permintaan pelbagai pihak supaya mendedahkan kajian kebolehlaksanaan dan ekonomi untuk projek HSR.

“Demi ketelusan, laporan ini harus didedahkan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada kepentingan terbaik Malaysia tercapai dengan membatalkan projek berkenaan,” katanya.

Najib juga berkata, Guan Eng semalam mendakwa hutang semasa 1MDB adalah RM50 bilion termasuk faedah, yang jauh lebih tinggi daripada RM30 bilion dan RM38 bilion dinyatakan minggu lalu.

“Menteri Kewangan sepatutnya menjelaskan hutang ini disokong oleh aset yang boleh bernilai sehingga RM30 bilion atau AS$3.5 bilion (RM14 bilion) daripada hutang ini dijamin oleh kerajaan asing. Ia juga tertakluk perundingan sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 5:55pm
d