mutakhir

Kereta itu 'baham' lori saya...

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

“BEBERAPA kali saya bunyikan hon, tapi kereta yang dinaiki mereka masih tidak mengelak sebelum kami bertembung.

"Pertembungan itu menyebabkan lori saya terbabas ke penghadang jalan dan kereta itu berpusing, " kata pemandu lori, Nik Mat Sulaiman, 58, yang terbabit kemalangan dengan kereta Perodua Viva di Kilometer 43 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Simpang Kemuning di Machang, hari ini.

Kejadian jam 8.45 pagi itu menyebabkan dua penumpang kereta berkenaan maut, manakala seorang lagi parah.

Mangsa yang maut adalah penumpang hadapan yang juga pakar motivasi Eddie Mustakim Busu, 37, berasal dari Gomeng, Negeri Sembilan dan penumpang belakang Nor Hasmini Ismail, 32 dari Tanah Merah.

Pemandu, Zulhairi Salamat, 25 parah di kepala dan dirawat di Hospital Machang.

Nik Mat berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Jedok ke Kuala Krai membawa muatan batu.

"Ketika kereta mereka memasuki laluan saya, saya terus membunyikan hon namun mereka seperti tidak sedar dan terus 'baham' lori.

"Sebelum ini saya pernah terbabit kemalangan biasa, namun kemalangan kali ini paling teruk dan tidak akan dilupakan. Saya ucapkan takziah pada keluarga mangsa, " katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibu saudara isteri Eddie Mustakim, Azizah Mat Zin, 52 berkata, dia mengetahui mengenai tragedi itu melalui isteri arwah, Munawwarah Ishak, 34.

Katanya, isteri arwah menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan suaminya meninggal dalam kemalangan.

"Isterinya dalam keadaan menangis menghubungi saya memaklumkan kejadian itu dan meminta bantuan untuk menguruskan mayat suaminya, sementara dia dalam perjalanan pulang ke sini.

"Terkejut dengan berita itu, saya terus bergegas dari Bachok ke Hospital Machang untuk membantu menguruskan arwah memandangkan hanya saya waris mangsa yang tinggal di sini," katanya.

Menurutnya, jenazah arwah akan dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Gemencheh, Negeri Sembilan malam ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva yang dinaiki mangsa itu dari arah Kuala krai menghala Kota Bharu.

Katanya, mereka dikatakan dalam perjalanan untuk menyampaikan ceramah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah, pada jam 9 pagi.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 8:50pm
d