mutakhir

Tun M singgah Pekan Rabu

Oleh BERNAMA

KUNJUNGAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke kompleks perniagaan Pekan Rabu petang tadi mengejutkan orang ramai yang sibuk membeli barangan persiapan menyambut Aidilfitri.

Namun, bagi Sardi Dahar,60, ia bukan sesuatu yang pelik kerana Dr Mahathir sering berkunjung ke gerainya setiap tahun untuk membeli songkok hasil tangannya di situ.

"Setiap tahun Tun Dr Mahathir dari menjadi Perdana Menteri, kemudian berhenti dan menjadi PM sekali lagi dia tak pernah lupa datang beli songkok di sini dan saiz kepalanya kali ini 22 inci.

"Lagipun, songkok buatan tangan saya halus, kemas, ringan dan boleh dilipat.

"Songkok ni pun jenama Songkok Style Tun, pastinya beliau tak lepaskan peluang membeli songkok yang diamanahkan kepada saya menjaga kualitinya yang tidak ada pada orang lain " katanya.

Selain membeli songkok, Dr Mahathir turut membuat tempahan baju Melayu di premis bersebelahan dan membeli pelbagai jenis kuih raya di gerai tingkat dua bangunan berkenaan.

Katanya, mengikut jadual asal, perdana menteri sepatutnya datang esok namun beliau datang awal pada hari ini.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut membeli songkok di premis Sardi.

Sementara itu, orang ramai yang turut mengambil kesempatan bersalaman serta bergambar dengan Dr Mahathir yang menghabiskan masa hampir dua jam di kompleks perniagaan itu.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 9:44pm
d