mutakhir

Tak kenang budi

Oleh Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: “Era UMNO menanggung dan mengendong MCA yang sudah lumpuh sudah lama tamat,” kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), MCA mengalami kekalahan teruk dan UMNO yang menyelamatkan parti itu dengan memberikan jawatan dalam Kabinet kepada pemimpinnya.

“Apakah MCA lupa sejak PRU13, MCA telah diserang ‘angin ahmar’ dan hilang upaya? Tapi, kita tetap mengendong mereka. Mereka diberi tempat yang empuk dalam kerajaan dengan harapan mereka pulih.

“Apa yang terjadi? Bukan saja mereka tidak pulih, malah mereka hilang upaya kekal sama sekali. Mereka bukan saja gagal dengan rakyat, malah gagal menawan hati ahli mereka sendiri. Hingga ke saat akhir di mana jentera parti disusun rapi, tapi MCA gagal mengenal pasti penyokong dan jentera. Mereka hanya minta dipapah dan dikendong!,” katanya dalam catatan terbaru media sosial Facebooknya yang disiarkan, semalam.

Kenyataan itu sebagai menjawab kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyatakan MCA tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan UMNO.

Dalam wawancara bersama Sin Che Daily kelmarin, Ka Siong membayangkan BN tidak lagi seperti dulu dan MCA kini akan membuat keputusan sendiri.

“Bawah pimpinan sekarang, apa saja yang diperkatakan UMNO bukan lagi tanggungjawab kami. Apa saja (hal salah) yang dikatakan bekas menteri dan pemimpin dulu, saya tidak akan ‘membayar’ bagi pihak mereka. Maaf, kami tidak akan lagi berbuat demikian,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 6:18am
d