mutakhir

Baca di mana saja

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Kuala Lumpur: Dalam usaha membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat, 30 anak muda mengambil inisiatif membaca al-Quran dalam Transit Aliran Ringan (LRT) menerusi kempen Quran Sana Sini di sini, semalam.

Kempen inisiatif bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan portal Indahnya Islam berlangsung selama satu jam membabitkan laluan LRT Stesen Gombak ke Stesen KL Sentral dan kembali ke Stesen Gombak.

Naib Yang Dipertua ISMA, Abdul Samad Ashaari berkata, LRT menjadi pilihan dalam kempen itu sebagai simbolik membuktikan ia boleh dibaca di mana saja.

Beliau berkata, dalam kalangan masyarakat tempatan, al-Quran sering dibaca di rumah atau masjid dan usaha mengatasi kejanggalan itu dalam kalangan masyarakat mendorong ISMA memilih LRT.

“Kami mahu mendidik masyarakat untuk membudayakan membaca al-Quran pada masa terluang termasuk di dalam pengangkutan awam.

“Hari ini tidak sukar untuk membaca al-Quran kerana terdapat kemudahan aplikasi telefon pintar.

“Paling penting, kami mahu mendorong orang ramai untuk membaca al-Quran dan kurangkan peruntukan melayari laman sosial, mendengar muzik atau bermain permainan dalam telefon pintar,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kempen itu yang turut diadakan sejajar meraikan Nuzul al-Quran, semalam.

Kempen dibangunkan sejak lima tahun lalu itu, mendapat inspirasi antarabangsa, Quran Hour.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 6:35am
d