mutakhir

Inap desa dihanyut bah

Oleh Rafiqah Dahali

Papar: Banjir yang melanda daerah ini susulan hujan lebat dan ribut petir malam kelmarin, mengakibatkan seorang pengusaha inap desa mengalami kerugian besar apabila penginapan diusahakannya sejak beberapa tahun lalu musnah sekelip mata.

Pada kejadian itu, inap desa D’Buguk Homestay di Kampung Ovai di sini yang diusahakan Jimmy Agoh, 38, dihanyutkan arus deras daripada sungai berhampiran yang melimpah namun tiada mangsa cedera atau membabitkan kehilangan nyawa.

Jimmy berkata, banjir susulan hujan lebat tanpa henti selama beberapa jam itu mengakibatkan arus sungai melimpah dan menjejaskan keseluruhan bangunan kayu berkenaan.

“Di depan mata saya, bangunan kayu, pondok dan kemudahan D’Buguk Homestay musnah dihanyutkan arus deras.

“Bukan itu saja, batang pokok ditebang hasil pembalakan berdekatan inap desa ini hanyut hingga merempuh dan memusnahkan sebahagian kemudahan D’Buguk Homestay. Berikutan itu, saya menanggung kerugian RM530,000,” katanya.

D’Buguk Homestay menyediakan dua chalet, satu dewan dan satu rumah atap selain pondok dan kanopi. Turut terjejas ialah Ponohuan Homestay terletak berhampiran kawasan terbabit.

Menurut Jimmy, dua pekerjanya mengalami kecederaan ketika memindahkan pengunjung inap desa berkenaan ke bukit berdekatan sementara menanti pasukan penyelamat tiba.

“Buat masa ini, saya mahu tunggu keadaan pulih seperti biasa sebelum membuat perancangan sama ada meneruskan untuk mengusahakan inap desa ini,” katanya.

Mengimbau kejadian, katanya, apabila paras air sungai mula meningkat, dia menutup inap desa lebih awal sebelum memindahkan pengunjung dengan menggunakan bot menuju ke bukit berdekatan.

“Saya membekalkan baju keselamatan, pelampung dan lampu suluh kepada pengunjung dan pekerja yang bertungkus-lumus memindahkan pengunjung.

“Pada masa sama, saya sibuk memindahkan barang di inap desa bersama pengunjung yang menghulurkan bantuan sementara menanti bantuan,” katanya.

Pada kejadian itu, 35 individu termasuk sebahagian yang menginap di inap desa berkenaan terperangkap sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 7:04am
d