mutakhir

Polis 'tunggu' Musa Aman pulang

Oleh Junaidi Ladjana

POLIS belum menerima sebarang maklumat berhubung kedudukan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sama ada sudah kembali ke negeri ini atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu ‘kepulangan' Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

“Kita belum menerima apa-apa maklumat lagi sama ada dia (Musa) sudah pulang atau tidak. Kita masih menunggu beliau untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, usaha NSTP mendapatkan perkembangan Musa daripada peguamnya juga tidak berjaya apabila telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Sebelum ini, Ramli mendedahkan pihaknya sudah menghubungi Musa dan memintanya pulang untuk diambil keterangan.

Beliau dipetik berkata, polis hanya menunggu kepulangan Musa dan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk menjejakinya kerana ia tidak bukan perkara serius.

Musa dipercayai keluar dari Sabah pada 14 Mei lalu dan beliau sebelum ini turut didakwa berada di London berdasarkan klip video yang tersebar dalam laman sosial, beberapa hari lalu.

Polis menjejaki Musa selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membuat laporan polis berhubung ancaman diterimanya yang dipercayai ada kaitan dengan majlis angkat sumpah Ketua Menteri pada 10 Mei lalu.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 8:58pm
d