mutakhir

Tindakan tegas jika langgar undang-undang - Maszlee Malik

Oleh Tharanya Arumugam

KEMENTERIAN Pendidikan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangannya yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan melanggar undang-undang.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, ini berikutan perkara itu membabitkan integriti kakitangan terbabit sendiri.

“Tiada siapa yang melebihi daripada undang-undang, dan pentadbiran baharu akan memastikan tadbir urus yang baik.

“Justeru, jika ada sesiapa yang mencuri peluang atau menyalahgunakan kuasa mereka, kami akan mengambil tindakan tegas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutup Karnival Karangkraf 2018 di Shah Alam, hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika diminta mengulas satu kes yang tersebar melalui laman sosial Facebook, baru-baru ini, membabitkan dakwaan seorang guru yang tidak berpuas hati dengan proses pertukaran guru.

Guru itu mendakwa kakitangan yang terbabit dalam pertukaran meminta wang untuk membolehkan pemohon mendapat sekolah yang diminta.

Maszlee berkata, kementeriannya sudah membuat laporan di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya untuk membolehkan pihak polis menyiasat perkara berkenaan.

Menurutnya, kementerian juga akan menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu.

Katanya, proses meluluskan permohonan pertukaran guru ke negeri yang dikehendaki membabitkan tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen di mana-mana sekolah di negeri terbabit.

“Perkara lain yang akan dipertimbangkan, termasuk jika guru berkenaan mempunyai penyakit kronik, alasan keselamatan, untuk mengikut pasangan masing-masing, selain tempoh perkhidmatan di sesebuah sekolah.

“Kami menasihati guru untuk menghubungi kami jika mereka berhadapan isu terbabit dan bukan meluahkannya kepada pihak ketiga untuk mengelakkan penipuan dalam proses pertukaran,” katanya.

Pada masa sama, Maszlee turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak dalam bidang akademik yang melakukan plagiat atau menipu dalam kerja akademik masing-masing.

“Kami akan memastikan semua pihak dalam sektor ini mematuhi undang-undang. Kami tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana salah laku dan plagiat.

“Mereka yang melakukan plagiat tidak akan terlepas. Kami mahu mereka mempunyai integriti dan berdisiplin,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 10:43pm
d