mutakhir

Zahid tanding jawatan Presiden

Oleh Syed Umar Ariff dan Nadia Hamid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedia bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Presiden itu berkata, kesediaannya membuktikan beliau menyahut cabaran daripada pemimpin UMNO untuk merebut jawatan berkenaan yang dikosongkan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, ia juga selaras dengan komitmen dizahirkannya sebelum ini bersama Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein iaitu semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk dipertandingkan.

“Siapa yang sedia tanding jawatan Presiden, kita belum tahu sebab belum tutup (penamaan calon) pada 17 Jun. Sekarang, penamaan calon baru dibuka tiga hari.

“Saya dan Hishammuddin tetap berpendirian, semua jawatan dalam parti terbuka untuk dipertandingkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Majlis Tertinggi UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Biro Agama Datuk Seri Jamil Baharom, Pengerusi Biro Kebajikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noh Omar.

Mereka yang hadir turut menunaikan solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan Tarawih.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 11:01pm
d