mutakhir

Menyusahkan orang betul...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

PENDUDUK di sekitar Pedu, Padang Terap, bimbang dengan kegiatan merosakkan kemudahan awam di beberapa kawasan di lebuh raya Tekih, Durian Burung-Baling yang semakin menjadi-jadi.

Terbaru, beberapa tiang lampu lebuh raya itu ditumbangkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencuri wayar logam di bahagian dalam tiang lampu jalan.

Menurut penduduk, Amir Wahab, 43, dia mula menyedari beberapa tiang lampu itu tumbang di jalan terbabit sejak beberapa minggu lalu selepas kerap menggunakan jalan itu untuk ke Tasik Pedu.

"Saya yakin mereka yang menumbangkan lampu lebuh raya itu tidak berniat lain kecuali untuk mencuri wayar logam yang dipasang di dalam tiang lampu berkenaan, kerja itu mungkin tidak sukar bagi mereka kerana hanya perlu menanggalkan skru dan menolak tiang lampu itu supaya rebah.

"Sebelum ini lampu di lebuh raya itu tidak lagi berfungsi dan ia memudahkan kerja mereka (pencuri) untuk menjalankan kegiatan itu disyaki pada sebelah malam kerana ia terlalu sunyi dan jarang digunakan pada waktu itu," katanya.

Amir berkata, pihak yang mencuri wayar logam di tiang lampu itu pasti mahir melakukan kegiatan itu dan jika dibiarkan dia percaya lebih banyak tiang lampu akan dirosakkan.

Katanya, dia sangat berharap , Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat bertindak segera supaya lebuh raya yang dirasmikan pada 2011 kembali bercahaya terutama di kawasan selekoh.

Seorang lagi penduduk, Sobri Salleh, 42, berkata, selain tiang lampu, skru pengadang lebuh raya itu turut dicuri.

"Skru yang berkemungkinan diperbuat daripada logam juga dicuri sehingga pengadang lebuh raya itu tertanggal dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan berkenaan di waktu malam.

"Bagaimanapun, pihak berwajib sudah mengambil tindakan sewajarnya menyambung semula dengan memateri pengadang itu," katanya.

Sementara itu Pengarah JKR negeri, Ir Mohamad Hilmi Wan Mahmud ketika dihubungi berkata, pihaknya menyedari kegiatan itu berlaku dan mengakui sukar dikawal berikutan kedudukannya yang terlalu jauh.

Bagaimanapun katanya, JKR akan mengambil tindakan untuk memasang tiang lampu itu semula dan berharap orang ramai yang menyedari kegiatan itu boleh membuat laporan polis.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 10:21am
d