mutakhir

'Rindu rendang ayam ibu'

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: “Saya rindu rendang ayam ibu,” kata Razin Najwan Sulaiman, 11, yang juga anak yatim dan penghuni Rumah Barkat Anak-Anak Yatim Johor, Jalan Bukit Chagar, dekat sini.

Menurutnya, ibunya, Kartina Agus, 31, meninggal dunia pada 2016 ketika melahirkan adiknya.

Katanya, selepas pemergian bapanya, Sulaiman Yusof, 40-an, akibat kanser usus ketika dia berusia enam tahun, ibunya memikul tanggungjawab menyara dia tiga beradik sebelum berkahwin lain dan mempunyai empat adik-beradik tiri.

“Saya suka makan ketupat. Bila raya, ibu masak ayam yang saya suka. Walaupun tidak meriah, ibu akan pastikan semua orang makan bersama.

“Saya anak bongsu. Kakak saya sudah besar dan tidak tinggal bersama kami di Taman Delima, Adda Height.

“Kini, saya menetap di rumah kebajikan sejak awal tahun ini dan raya kali ini pastinya terasa lain kerana beraya bersama rakan sebaya dan tidak lagi bersama keluarga,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ngee Heng, dekat sini.

Razin Najwan antara 40 anak yatim dari rumah kebajikan itu diraikan pada Program Jalinan Kasih anjuran Kerry Ingredients (M) Sdn Bhd Plentong di AEON Permas Jaya.

Hadir sama Pengerusi Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi Kerry Plentong, Mohamed Norazam Mokhtar dan Pegawai Pendidikan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Johor Bahru, Siti Rohayu Sulong.

Sementara itu, Mohamed Norazam berkata, program tanggungjawab sosial (CSR) kali pertama itu diadakan bagi memberi keceriaan kepada golongan kurang berkemampuan selain menumpukan soal keprihatinan terhadap masyarakat.

Menurutnya, anak yatim berusia tiga hingga 12 tahun itu diberi bantuan berbentuk makanan, duit raya, selain diberi peluang berbelanja kelengkapan raya di pusat beli-belah berkenaan.

“Program kemasyarakatan ini turut membabitkan golongan sasar lain yang diadakan sepanjang tahun antaranya gotong-royong di rumah warga tua, kempen derma darah dan lawatan pesakit kanser di Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 11:16am
d