mutakhir

Senarai penuh Kabinet minggu depan - Muhyiddin

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Fazrik Kamarudin

SENARAI penuh Kabinet dijangka diumumkan pada minggu ini, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, kerajaan ketika ini memberi sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk Jemaah Menteri.

"Kita beri penuh kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana pembentukan Jemaah Menteri ini adalah di bawah beliau selepas itu baru dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi upacara angkat sumpah (jawatan).

"Saya diberitahu ia (kabinet penuh) dapat diselesaikan minggu ini tapi tak tahu bila harinya jadi saya harap kita bersabar,"

katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan rasmi dan sesi taklimat di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 dan sebelum ini sudah mengumumkan 13 Menteri Kabinet.

Pada 27 Mei lalu, Perdana Menteri berkata, beberapa lagi anggota Kabinet bakal diumumkan dalam tempoh dua minggu akan datang terutamanya bagi mengisi portfolio penting seperti Kementerian Luar.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada masa sama mengakui berdepan cabaran untuk membentuk Kabinetnya.

Beliau berkata, ia memandangkan perlu membuat pertimbangan dari segi bilangan kementerian yang diagihkan kepada setiap empat parti di dalam PH.

Jelasnya, buat permulaan kerajaannya cuma akan membentuk 25 kementerian sahaja dan hanya melakukan penambahan jika mempunyai keperluan.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 3:18pm
d