mutakhir

Terima kasih polis Kulim

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PRIHATIN dengan nasib menimpa ibu tunggal enam anak yang hilang tempat bergantung selepas suami meninggal dunia 5 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan dan wang tunai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, selepas kisah keluarga terbabit tular di media sosial dan mendapat liputan media, pihaknya terpanggil untuk membantu Rosalinda Saad, 38, yang dihimpit kesusahan selepas suaminya meninggal dunia.

Menurutnya, sumbangan barangan keperluan dan wang tunai itu adalah usaha IPD Kulim membantu meringankan beban keluarga terbabit.

“Tambahan Aidilfitri bakal menjelang tiba tidak lama lagi pasti membebankan mereka sekeluarga.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri,” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu di rumah adik ipar Rosalinda di Taman Sejahtera Jaya, Lunas, Kulim, hari ini.

Sementara itu, Rosalinda berkata, kehidupannya berubah selepas suami meninggal dunia bulan lalu menyebabkan dia buntu memikirkan masa depan membesarkan enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Dia yang tidak bekerja terpaksa membesarkan anak-anaknya terutama bayi berusia dua bulan seorang diri.

“Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan selepas mengetahui nasib menimpa kami.

“Tidak lupa juga kepada IPD Kulim yang memberi sumbangan kepada saya bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini disambut ala kadar dan hanya membeli baju untuk anak-anaknya sahaja.

Orang ramai yang ingin membantu Rosalinda boleh menghubunginya di talian 013-4188057.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 3:32pm
d