mutakhir

Mohamed Khaled mahu tanding Naib Presiden [METROTV]

Oleh BERNAMA

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu, 30 Jun ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata, penawaran dilakukan dalam keadaan UMNO berada pada paras kedudukan paling rendah, sekali gus sebagai perjuangan memastikan parti tersebut kembali disokong orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Penawaran ini memberikan alternatif kepada anggota UMNO untuk membuat pilihan. Memang ramai yang menawarkan diri. Saya harap supaya perwakilan dapat menilai kekuatan, kemampuan dan semangat yang dapat diberikan setiap calon kerana semuanya ada kelebihan masing-masing,” katanya kepada pemberita di ohor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan kesediaan beliau itu bukannya demi kedudukan dan kuasa, sebaliknya mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa masih terdapat ramai pemimpin dan anggota UMNO yang masih berpegang kepada prinsip perjuangan iaitu berkhidmat demi kepentingan agama dan negara, bukannya kepentingan peribadi.

Beliau mempunyai cadangan untuk memulih dan membangunkan semula UMNO dan akan berkongsi idea itu sebelum pemilihan jika berkesempatan, akan menjelajah ke negeri lain untuk menjelaskannya.

“Semua orang kata UMNO perlu berubah tetapi tiada siapa yang menjelaskan bagaimana perubahan itu perlu dibuat. Mungkin belum ada yang mahu berkongsi idea tetapi sebelum bertanding, saya akan kongsikan pandangan saya.

Mungkin UMNO terlalu lambat lakukan perubahan, kita (UMNO) masih bergerak berasaskan cara lama, pemilihan selalu tangguh, kadang-kadang pemilihan pemimpin datang dari ‘atas’, pendek kata kita tidak tunjuk kita sebuah parti progresif. Ini semua kena diberi perhatian,” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 4:20pm
d