mutakhir

MB menghadap Sultan Selangor sebelum lepaskan jawatan

Oleh BERNAMA

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali esok, bagi berbincang dan menyelesaikan masalah berkaitan pentadbiran negeri ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pertemuan tersebut akan diadakan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, pada pukul 11 pagi, iaitu sehari sebelum Mohamed Azmin dijadual berangkat menunaikan ibadat umrah selama seminggu bermula Rabu.

“Ia juga adalah pertemuan Mohamed Azmin sebelum beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 19 Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 30 Mei lepas, Sultan Selangor berkenan untuk diadakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu pada tarikh berkenaan.

Ia adalah susulan Mohamed Azmin yang telah dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua sebelum ini menyertai Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Antara wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut bakal menggantikan Mohamed Azmin ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, ADUN Sungai Tua Amirudin Shari, ADUN Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei, ADUN Ijok Dr Idris Ahmad dan ADUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 4:23pm
d