mutakhir

PPM rampas rokok seludup RM6 juta [METROTV]

Oleh Rizalman Hammim

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas rokok seludup bernilai hampir RM6 juta selepas dua lori ditahan di Pontian dan Pasir Gudang, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, lori itu ditahan pada 22 Mei lalu berdasarkan maklumat yang diterima.

Katanya, lori pertama ditahan di Ayer Baloi, Pontian pada 4.30 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berat itu membawa 550 kotak rokok seludup bernilai kira-kira RM3 juta.

“Dalam pemeriksaan itu, kita juga menahan dua suspek di tempat kejadian.

“Lori kedua pula ditahan di Lebuhraya Pasir Gudang pada 5 pagi hari sama dan menemui 515 kotak rokok putih selain menahan seorang suspek,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Zulkifli, jumlah nilai rokok seludup yang disita itu adalah kira-kira RM5.87 juta.

“Tiga suspek berusia antara 26 dan 42 tahun itu direman antara empat dan enam hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Kita sedang dalam proses mengenal pasti dan mencari ahli kumpulan kepada suspek ini, terutamanya ketua kumpulan yang dipercayai warga tempatan,” katanya.

Katanya, PPM akan terus menjalankan tugas mencegah penyeludupan dan kegiatan jenayah lain di perairan Malaysia.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 9:46pm
d