mutakhir

Jenazah bonda Sultan Johor dimakam esok [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

JENAZAH bonda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah dijangka tiba dari London, hari ini.

Pesawat peribadi Sultan Johor yang membawa jenazah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 10.30 malam.

Jenazah akan disambut Sultan Ibrahim bersama kerabat Diraja sebelum dibawa menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ke Istana Besar untuk disemayamkan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, ketika disemayamkan di bilik khas malam ini, bacaan al-Quran akan diperdengarkan sepanjang masa secara bergilir-gilir oleh pegawai agama dan kumpulan tahfiz sehingga esok.

Beliau berkata, istiadat pemakaman akan disempurnakan esok di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada 10.15 pagi.

"Jenazah akan ditempatkan dalam keranda khas diselimuti bendera kerabat Diraja yang berhak ke atas Almarhumah untuk diusung menaiki pedati dan diarak ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

"Pedati khas direka khas oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1886 itu akan ditarik oleh 40 Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) dan berarak sejauh 2.8 kilometer yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

"Perarakan akan didahului oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani bermula dari jalan keluar Istana Besar melalui Jalan Ayer Molek sehingga ke Makam Diraja," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru, hari ini.

Menurut Abdul Rahim, orang ramai yang ingin memberi penghormatan terakhir dinasihatkan memakai pakaian hormat dan sopan.

Bonda Sultan Johor mangkat di Hospital King Edward VII, London, 7.55 malam Jumaat lalu (waktu tempatan) pada usia 83 tahun.

Almarhumah Enche' Besar Hajah Khalsom dilahirkan pada 2 Disember 1935 dan dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berita berkaitan:

Johor berkabung [METROTV]

Akan dimakam di Bukit Mahmoodiah

Bonda Sultan Johor mangkat

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 1:17pm
d