mutakhir

Shahrizat tak pertahan jawatan Ketua Wanita

Oleh Rohaniza Idris

KETUA Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah beliau maklumkan ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita UMNO di ibu pejabat Wanita UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

"Saya telah memaklumkan bahawa saya tidak akan menawarkan diri sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNOuntuk pemilihan

pada kali ini.

"Keputusan ini saya ambil kerana saya memandang serius suara lantang daripada rakyat yang mahu melihat perubahan dan pembaharuan dalam UMNO. Masanya sudah tiba untuk Wanita UMNO diketuai oleh seorang Ketua Wanita baharu yang mampu membawacara dan idea baharu yang mendapat sokongan bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO tetapi juga mendapat sokongan rakyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Shahrizat berkata, Wanita UMNO mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi terdiri daripada mereka yang berpengalaman mahupun mereka yang muda dan bertenaga.

Katanya, beliau yakin jika kepemimpinan wanita yang ada jika diberikan peluang untuk memimpin Wanita UMNO, mereka akan menjalankan tugas dengan baik terutamanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau menyeru semua ahli Wanita UMNO terutama di peringkat akar umbi untuk mengekalkan semangat perjuangan sebagai tulang belakang dalam parti.

"Seorang pemimpin sebenarnya diujisemasa menghadapi krisis sama ada untuk mempraktiskan kebijaksanaan, menghadapi realiti,membawa perubahan, berkorban mahupun menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.

"Sebagai ibu terbaik bangsa, walau di mana juga kita berada, Wanita UMNO mesti meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa, negara dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat yang berbilang kaum.

"Saya ingin memohon ampun dan maaf jika dalam saya menjalankan tugas selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, saya terkasar bahasa atau tersilap langkah. Terima kasih atas peluang,kepercayaan dan kesetiaan lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO kepada kepimpinan saya selama ini.Saya amat menghargainya.

"Sokongan dan perpaduan ahli Wanita UMNO lah yang memungkinkan saya menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diamanahkan. Saya berdoa semoga Malaysia dan rakyatnya terus selamat sejahtera," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 2:37pm
d