mutakhir

53 aduan berkaitan GST

Oleh Shamsul Munir Safini

SEBANYAK 53 aduan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang sejak 1 Januari lalu.

Pengarah KPDNKK negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata daripada jumlah itu 11 aduan sudah diambil tindakan manakala 15 kes masih dalam siasatan pihaknya.

Beliau berkata, kebanyakan laporan dan aduan diterima pihaknya berkaitan barangan dijual masih mempamerkan harga lama sebelum kadar GST kosong peratus.

“Ada aduan diterima membabitkan barangan dijual masih mengenakan kadar GST enam peratus, sedangkan pada 1 Jun lalu, kadar GST adalah kosong peratus.

“Kita sudah mengambil tindakan berkenaan aduan ini termasuk memberi amaran kepada peniaga atau premis,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, orang ramai perlu mengenal pasti sama ada kedai atau premis dikunjungi mereka berdaftar dengan GST atau tidak.

Katanya, ini kerana, pengguna berdepan tanggapan semua barangan di premis perniagaan akan diturunkan harga sedangkan ada sesetengah kedai tidak mengenakan GST dan mengekalkan harga lama.

“Sehingga kini, kami sudah memeriksa 859 premis membabitkan harga 25,777 barangan bagi memastikan peniaga mematuhi kadar GST kosong peratus dalam harga dipamerkan atau yang dikenakan ke atas pengguna.

“KPDNKK akan menyiasat aduan berkenaan GST dalam tempoh 24 jam dan ia adalah komitmen tinggi daripada KPDNKK agar pengguna tidak tertipu.

“Kami sudah memberi notis dan makluman kepada premis perniagaan agar mempamerkan harga baru yang mengenakan kadar cukai kosong peratus pada barang jualan mereka,” katanya ketika meninjau harga barangan di Pasar Besar Mydin Bertam di Kepala Batas, hari ini.

Beliau berkata, Mydin Bertam sudah 98 peratus selesai menukar harga semua barangannya mengikut kadar GST kosong peratus dan selesai mengubah sistem pada semua mesin daftar tunai mengikut kadar baru.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 6:49pm
d