mutakhir

'Tanggungjawab hebat' [METROTV]

Oleh Hidir Reduan; Farah Marshita Abdul Patah; Fahmy Azril Rosli dan Rahmat Khairulrijal

PEGUAM terkemuka, Tommy Thomas, yang menerima perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sebagai Peguam Negara yang baharu, menganggap pelantikan itu sebagai satu penghormatan.

“Saya merasa rendah diri dengan pelantikan ini dan menganggap ia sebagai tanggungjawab yang hebat.

“Bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk saya memberikan sebarang komen; namun, saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua”, katanya ketika ditemui media di depan pejabatnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, pihak media mula berkumpul di hadapan pejabat beliau seawal 10 pagi sebaik mendapat maklumat mengenai perlantikan itu.

Beliau yang tiba pada 1.35 tengah hari, dilihat tersenyum sebaik keluar dari keretanya dan memohon maaf kepada petugas media yang sudah menunggu.

Pelantikan Thomas, 66, dibuat mengikut Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Dr Mahathir mencadangkan Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut memaklumkan sudah bertemu, Dr Mahathir pagi tadi dan akan mengatur pertemuan sekali lagi dengan Perdana Menteri, esok.

Beliau turut menafikan spekulasi akan mengambil alih jawatan itu dan memulakan tugas sebagai Peguam Negara, esok.

“Saya tidak boleh membuat sebarang komen sehingga menerima surat pelantikan rasmi yang mungkin mengambil masa beberapa hari,” katanya.

Berita berkaitan:

Tommy Thomas dilantik Peguam Negara

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 6:50pm
d