mutakhir

OKU lumpuh jual mercun

Oleh Omar Osman

HANYA kerana ingin membantu keluarganya, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lumpuh dan berkerusi roda sanggup menanggung risiko menjual mercun serta bunga api di bazar Ramadan.

Ibunya terpaksa menjaga bapa tiri lumpuh menyebabkan lelaki berusia 30-an itu memberi alasan terpaksa mencari wang lebih dengan menjual barang terlarang itu.

Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjalankan operasi di sekitar bazar Ramadan di Sungai Petani bermula 5 hingga 6.30 petang.

Ketua JKDM Sungai Petani Mohd Shukri Jusoh berkata, hasil maklumat orang ramai pihaknya membuat pemeriksaan di bazar Ramadan Bandar Puteri Jaya (BPJ) sebelum menemui sejumlah mercun dan bunga, namun lelaki OKU itu sudah menghilangkan diri.

Beliau berkata, melalui temu bual dengan seorang peniaga kuih, dia memberitahu mercun itu kepunyaan lelaki OKU terbabit.

“Bagaimanapun 20 minit kemudian, lelaki OKU terbabit datang semula sebelum kita menahannya untuk soal siasat.

“Dia memberi alasan menjual mercun itu kerana ingin membantu ibunya yang menjaga bapa tirinya yang lumpuh,” katanya selepas operasi itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menahan lelaki itu, sebaliknya mengeluarkan notis supaya dia hadir ke pejabat JKDM bagi tujuan siasatan lanjut.

“Mercun dan bunga api bernilai RM150 itu kemudian dirampas untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam serbuan kedua di tempat sama, kita menahan seorang lelaki berusia 30-an kerana menjual mercun dan bunga api kepada orang ramai dan merampas bahan itu bernilai RM180,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan larangan import.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali nilai barangan rampasan atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 9:18pm
d