mutakhir

Kaji naik taraf KYPJ, MARSAH

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KERAJAAN Negeri Johor sedang mengkaji untuk menaik taraf Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) kepada kolej universiti atau universiti penuh dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, hasrat itu bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan sebuah Universiti Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kami bersetuju secara dasar untuk menyahut seruan dan cabaran dalam tawaran Pakatan Harapan untuk menubuhkan ‘Universiti Johor’ pada PRU lalu.

“Kami akan merangka beberapa pasukan bagi peringkat dasar, selain mengadakan perbincangan mengenai hala tuju universiti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan ke KYPJ bagi meninjau serta menghadiri taklimat mengenai operasi kolej itu secara keseluruhannya di KYPJ di Jalan Kulai-Kota Tinggi hari ini.

Taklimat selama sejam di Bilik Senat Bangunan Pentadbiran KYPJ disampaikan Pengurus Besar KYPJ, Abdul Razak Mohd Saat, selain dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid A Rahman dan Ketua Eksekutif KYPJ, Shahrim Adon.

Mengulas lanjut katanya, perbincangan lanjut mengenai penubuhan universiti berkenaan akan diadakan dalam tempoh terdekat bersama beberapa pasukan khas.

“Ia termasuk mendapatkan pandangan atau ‘brainstorming’ yang turut mendapat penyertaan dana pandangan tenaga pakar dalam universiti.

“Membina sebuah universiti baharu memerlukan kos dan perbelanjaan tinggi. Jadi langkah menaik taraf kedua-dua institusi pendidikan itu adalah langkah terbaik.

“Justeru bagi melaksanakannya, kami perlu mendapatkan pandangan pihak yang berpengalaman dalam menguruskan universiti membabitkan kriteria dikehendaki terutama peningkatan dari kolej kepada kolej universiti,” katanya.

Katanya, ‘brainstorming’ berkaitan pakar pendidikan bagi melihat perkara berkaitan merangkumi dana, kursus ditawarkan dan tenaga pengajar.

“Kita harap dalam tempoh tiga tahun usaha menaik taraf MARSAH dan KYPJ sebagai kolej universiti penuh akan dapat dilaksanakan kelak.

“Paling penting pandangan juga mengambil kira tenaga pengajar, kemudahan infrastruktur dan kemudahan makmal,” katanya.

Pada masa sama katanya, pihak industri juga akan dipanggil untuk duduk berbincang bagi mengetahui keperluan guna tenaga yang diperlukan mereka dalam sektor itu.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan graduan Universiti Johor berjaya mendapat pekerjaan sesuai kehendak industri sebaik mereka menamatkan pengajian mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 9:33pm
d