mutakhir

'Syukur cucu opah dah ada baju raya'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

“SYUKUR cucu opah akhirnya dah ada baju raya,” kata Noriah Yaacob, nenek kepada dua anak yatim yang berpeluang membeli pakaian raya di pasar raya besar Mydin Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Buat julung kalinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak mengadakan program pembelian kelengkapan baju raya untuk anak penerima faedah PERKESO, hari ini.

Seramai 11 anak yatim diberi sumbangan berupa pembelian kelengkapan pakaian raya bernilai RM200 seorang serta barang keperluan raya lain.

Noriah, 69, berkata, ini kali pertama dia dapat membawa cucunya itu membeli pakaian hari raya di pasar raya besar.

“Memang gembira hari ini dapat tengok dua cucu seronok memilih baju raya yang cantik.

“Kalau nak diikutkan, opah hanya mampu belikan baju murah sahaja untuk mereka,” katanya.

Katanya, selepas bapa kepada dua cucunya itu meninggal dunia dua tahun lalu, dia bertanggungjawab membesarkan dan menguruskan kanak-kanak berkenaan.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai perasaan bahagia berhari raya hari ini, terima kasih PERKESO memberi sumbangan sebegini," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERKESO negeri, Noorhanita Mohamad berkata, sumbangan itu dibuat berasaskan agihan semula zakat pendapatan anggota PERKESO.

Beliau berkata, peruntukan zakat diberikan pihak ibu pejabat kepada setiap pejabat di seluruh negara dan pihaknya menerima peruntukan RM1,500 untuk tujuan berkenaan.

“Selain daripada peruntukan itu, kami membuat kutipan daripada anggota pejabat menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan diagihkan kepada anak-anak asnaf itu berjumlah RM2,000.

“Kami akan meneruskan program ini pada masa hadapan dengan menyasarkan peruntukan lebih banyak,” katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 11:20pm
d