mutakhir

CUEPACS mohon teruskan koperasi kredit

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

KESATUAN Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan meneruskan operasi koperasi kredit (KK) demi menjaga kebajikan ahlinya terutama kalangan penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda, berkata gesaan itu dibuat kerana pihaknya bimbang kerajaan baharu mengikut langkah pentadbiran lama yang mengurangkan bilangan KK biarpun setakat ini belum ada ura-ura mengenai perkara itu.

Beliau berkata, kewujudan KK yang berkonsepkan jimat cermat dan menyimpan wang turut menyediakan pinjaman peribadi dan selama ini banyak membantu kelangsungan aktiviti ekonomi ahlinya.

“Seperti diketahui umum, kerajaan dulu mengurangkan bilangan KK yang kini sebanyak 600 buah, manakala ahlinya seramai 1.6 juta kalangan penjawat awam dan pesara.

“Pelbagai kemudahan disediakan untuk ahli termasuk pinjaman kecemasan, pendidikan dan untuk membeli barangan keperluan rumah tangga dan kelulusannya segera.

“Jika ditutup, ke mana mereka hendak pergi (meminjam), adakah kepada bank atau institusi kewangan yang syaratnya berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama rakan strategik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Petaling Jaya, hari ini. Hadir sama Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Azih berkata, hasil perbincangan itu mereka berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengekalkan KK bagi kebaikan penjawat awam khususnya yang menjadi ahli begitu lama.

“Jumlah peminjam KK lebih kurang sejuta orang dan bertambah dari semasa ke semasa. Penyertaan mereka (meminjam) menghidupkan koperasi, sekali gus membolehkan bayaran balik dividen kepada ahli,” katanya.

Untuk rekod setakat 30 Jun 2017, jumlah syer KK bernilai RM6.07 bilion dengan perolehan RM4.2 bilion.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, mesyuarat itu turut membincangkan bagaimana kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam menyelesaikan pelbagai isu lain termasuk kediaman untuk penjawat awam.

“Saya berharap perkara yang kami bangkitkan akan dapat perhatian daripada kerajaan.

“Kami akan memperincikan hasil perbincangan ini dalam masa sebulan ini sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 11:52pm
d