mutakhir

[UPDATE] Ibu, bapa pegawai polis rupanya...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SUAMI isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan pikap di Kilometer 92 Jalan Ipoh-Butterworth, dekat Taman Selinsing Indah, Bagan Serai, petang semalam adalah ibu dan bapa kepada pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Negeri Sembilan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika berada di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, Taiping bagi memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah mangsa dikebumikan, tengah malam tadi.

Beliau berkata, dalam kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Bezza Jubidi Juhari, 62, dan pasangannya, Che Noriah Nawari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terbabit kemalangan dengan Toyota Hilux dinaiki pasangan suami isteri dan dua anak mereka.

“Kedua-dua mangsa yang juga pemandu dan penumpang hadapan Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas paramedik.

"Turut cedera parah dalam kemalangan terbabit adalah dua cucu lelaki mangsa iaitu anak kepada pegawai polis terbabit yang berusia sembilan dan lima tahun.

“Semua mangsa yang parah termasuk cucu mangsa kini menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

'Sudah takdir ajal bersama'

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 1:02am
d