mutakhir

Jenazah bonda Sultan Johor tiba di Istana Besar

Oleh Rizalman Hammim

AMBULANS yang membawa jenazah bonda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar iaitu Enche' Besar Hajah Khalsom Abdullah, tiba di Istana Besar, Johor Bahru, 11.45 malam tadi.

Terdahulu, pesawat peribadi milik Sultan Johor yang membawa jenazah dari United Kingdom, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 11 malam.

Jenazah Almarhumah disambut Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan kerabat Diraja lain.

Turut serta Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan EXCO Johor.

Sejurus tiba, jenazah dibawa dengan ambulans peribadi Sultan Johor ke Istana Besar.

Jenazah disemayamkan di bilik khas malam ini dan bacaan al-Quran akan diperdengarkan sepanjang masa secara bergilir-gilir oleh pegawai agama dan kumpulan tahfiz sehingga esok.

Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai 8 hingga 10 pagi esok.

Istiadat pemakaman akan disempurnakan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru pada 10.15 pagi esok.

Jenazah akan ditempatkan dalam keranda khas diselimuti bendera kerabat Diraja yang berhak ke atas Almarhumah untuk diusung menaiki pedati dan diarak ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Pedati khas direka khas oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1886 itu akan ditarik oleh 40 Askar Timbalan Setia Negeri (TSN) dan berarak sejauh 2.8 kilometer yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Bonda Sultan Johor mangkat pada 7.55 malam (waktu London) Jumaat lalu di Hospital King Edward VII, London, pada usia 83 tahun.

Almarhumah Enche' Besar Hajah Khalsom dilahirkan pada 2 Disember 1935 dan dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 1:32am
d