mutakhir

Kereta meletup bakar bengkel

Kajang: “Saya terkejut sebaik melihat kereta yang dipandu pekerja bengkel itu tiba-tiba meletup dan terbakar,” ujar saksi kejadian kebakaran bengkel di Jalan SL 1/2, Bandar Sungai Long, di sini, semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan bengkel berkenaan musnah sepenuhnya, selain kereta mangsa turut rentung.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 23, berkata, kejadian berlaku ketika dia menghantar kereta Proton Wira miliknya ke bengkel berkenaan menggunakan khidmat trak tunda.

Katanya, dia mengesyaki berlaku kebocoran pada tangki minyak susulan bau petrol dihidunya.

“Saya tidak berani memandu kereta itu ke bengkel berkenaan menyebabkan saya menggunakan khidmat trak tunda. Sebaik tiba di bengkel berkenaan, seorang pekerja berusia 30-an menghidupkan enjin kereta untuk diletakkan di dalam premis berkenaan.

“Bagaimanapun, kereta itu tiba-tiba meletup di bahagian enjin sebelum api merebak dan menyebabkan kebakaran. Namun, pekerja berkenaan sempat keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Wong berkata, sebelum api marak, pekerja lelaki terbabit sempat mengalihkan beberapa kereta yang diletakkan di depan bengkel berkenaan.

“Hanya beberapa kereta yang sempat diselamatkan berikutan api semakin marak.

“Saya bersyukur kerana pekerja itu sempat menyelamatkan diri dan kami tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 tengah hari sebelum 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dan Pasukan Bomba Sukarela Balakong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api marak di tingkat bawah premis tiga tingkat terbabit yang menempatkan bengkel berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 7:35am
d