mutakhir

'Belok' masuk parit

Oleh Muhamad Hafis Nawawi

Alor Setar: “Kami yang kebetulan melalui jalan itu terus berhenti sebelum membantu dua beranak yang terbabit kemalangan,” kata Ketua Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Alor Setar, Mokhtar Baharom.

Menurutnya, dia bersama Pembantu Penguat Kuasa Ahmad Asmady Mohamad Taib dan Pembantu Penguat Kuasa Mohd Tahaqif Che Ismail ketika itu sedang bertugas namun sebaik tiba di lokasi kejadian di Jalan Datuk Kumbar di sini jam 12.50 tengah hari kelmarin mendapati seorang wanita bersama anak perempuannya terbabit dalam kemalangan.

“Tanpa berlengah kami terus menghulurkan pertolongan bersama orang awam mengangkat mereka keluar selepas terbabas ke dalam parit dan motosikal turut dibawa keluar.

“Mujur mereka tidak mengalami kecederaan sebelum orang ramai mencuci lumpur pada badan mangsa,” katanya.

Mokhtar berkata, apa yang dilakukan itu adalah tanggungjawab sosial membantu mereka yang mengalami kesusahan.

“Tugas kami ada ketika menemui pelbagai kes dan ini bukan kali pertama membantu orang ramai.

“Sebelum ini saya sendiri pernah menolong individu mengalami masalah akibat tayar kereta pancit, minyak kereta habis dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, bantuan dihulurkan itu tidak mengharapkan apa-apa balasan sebaliknya atas tanggungjawab membantu mereka yang dalam kesusahan.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 11:01am
d