mutakhir

Tiga jalan di JB tutup

Oleh Halim Said and Farah Dinah Hassan

TIGA jalan di Johor Baharu ditutup secara berperingkat hari ini bermula 8.30 pagi sempena istiadat pemakaman bonda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu Enche' Besar Hajah Khalsom Abdulah.

Jalan terbabit adalah Jalan Ayer Molek, Jalan Yahya Awal dan Jalan Mahmoodiah ditutup sehingga istiadat pemakaman selesai.

Walau bagaimanapun, trafik dilihat terkawal sepanjang istiadat pemakaman itu.

Istiadat pemakaman Enche' Besar Hajah Khalsom dibuka untuk orang ramai bermula 8.15 pagi hingga 10 pagi.

Kesemua kerabat diraja dan wakil kerajaan negeri termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memasuki pintu utama Istana Besar pada 8 pagi.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian mengetuai rombongan Tunku Ismail yang memasuki pintu Istana.

Kesemua pelawat diberi peluang selama dua jam untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke Bukit Mahmoodiah.

Istiadat pemakaman dijangka selesai sebelum waktu Zohor.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 11:10am
d