mutakhir

Makin nak raya, makin menjadi-jadi

Oleh Hassan Omar

“SEMAKIN hampir Aidilfitri, semakin galak mereka mencuri lembu,” luah penternak lembu, Mohd Raja Sainal, 43, berhubung kes curi lembu di Kampung Ayer Hitam Darat, Masjid Tanah.

Mohd Raja berkata, dia kerugian RM2,500 selepas lembu betinanya di curi dalam kejadian terbaru, Jumaat lalu.

Katanya, lembu berusia dua tahun itu hilang apabila dia membuat pemeriksaan di ladang kelapa sawit berhampiran pusat penternakan ayam di Kampung Londang, di sini, kira-kira tiga kilometer dari kandang lembunya.

Mohd Raja yang sudah kerugian kira-kira RM20,000 selepas lima lembunya dicuri sebelum ini berkata, dia melepaskan 40 lembunya di kawasan itu kira-kira 8 pagi Jumaat lalu dan membuat pemeriksaan setiap dua jam.

“Selepas solat Jumaat, saya kembali ke kawasan lembu meragut dan membuat kiraan semula, bagaimanapun terkejut apabila mendapati seekor daripada keseluruhan lembu sudah tiada. Pemeriksaan dilakukan menemui jarum alat pelali di kawasan berkenaan.

“Saya yakin lembu itu ditembak dengan ubat pelali menyebabkannya pengsan seterusnya diletakkan di dalam but kereta untuk dilarikan. Ini kerana pencuri lebih gemar melarikan lembu dengan menggunakan kereta, berbanding lori,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya, hari ini.

Mohd Raja berkata, sebanyak 12 daripada 40 lembunya dicadang untuk disembelih dan dijual dua atau tiga hari sebelum Aidilfitri.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat laporan polis berhubung kejadian kecurian ini kerana tidak yakin siasatan akan menemukan semula haiwan itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 1:53pm
d