mutakhir

Susur baharu Plaza Tol Seremban dibuka esok [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

KIRA-KIRA 18,000 pengguna harian dari Seremban 2 dan Bukit Kepayang, Seremban tidak perlu lagi menempuh kesesakan teruk untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, apabila laluan susur baharu di Persimpangan Bertingkat Seremban dibuka esok.

PLUS Malaysia Bhd dalam kenyataannya berkata, pengguna boleh masuk ke susur keluar di persimpangan bertingkat Seremban yang baharu itu apabila ia dibuka secara rasmi bermula 3.30 petang.

"Melalui pembukaan laluan susur berkenaan, kenderaan dari arah Seremban 2 dan Bukit Kepayang tidak perlu lagi melintas Jalan Sungai Ujong untuk masuk ke Plaza Tol Seremban (arah utara) yang sedia ada.

"Sebaliknya, pengguna boleh terus menggunakan laluan susur baharu itu untuk menghala ke Nilai dan Kuala Lumpur sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Projek pembinaan susur masuk bernilai RM12 juta yang bermula pada Januari tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Mei lalu dan turut dilengkapi plaza tol tiga lorong menyediakan perkhidmatan Smart TAG dan Touch n Go serta laluan khas motosikal.

Pembukaan rasmi persimpangan yang bernilai RM12 juta itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 2:02pm
d