mutakhir

Lori asid terbalik, pemandu maut

Oleh Rosli Ilham

PEMANDU lori maut apabila kenderaan itu yang membawa 17,000 liter asid sulfurik terbabas di Kilometer 312.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kerteh, Kemaman, hari ini.

Kemalangan berlaku kira-kira 3 pagi menyebabkan Mohd Anwar Abdul Malik, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan itu dalam perjalanan dari Seremban ke Kerteh untuk menghantar muatan berkenaan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di tepi lebuh raya.

“Akibatnya, mangsa parah di kepala dan maut di tempat kejadian.

“Tangki asid sulfurik itu yang dibawa juga bocor dan bomba dikerah ke lokasi untuk mengawal kebocoran dan melakukan kerja pembersihan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Said berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 2, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu 3.25 pagi.

Beliau berkata, empat jentera dengan kekuatan 20 pegawai dan anggota termasuk pasukan HAZMAT ke lokasi untuk mengawal keadaan.

“Kita terpaksa membuat takungan di dua tempat dekat kawasan tangki yang bocor dan pasukan HAZMAT menggunakan serbuk kapur bagi meneutralkan semula bahan kimia itu,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan selesai sepenuhnya kira-kira 12 tengah hari.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 2:27pm
d