mutakhir

Ah Lu dah empat tahun puasa penuh

Oleh Essa Abu Yamin

“TAHUN ini sudah empat tahun berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan jika diberikan kesihatan yang baik, saya memang mahu berpuasa pada tahun-tahun yang akan datang,” kata pemuda Tionghua, Lu Tun Eng, 26.

Tun Eng atau lebih mesra dipanggil Ah Lu berkata, dia berpuasa sepanjang Ramadan yang mendidiknya menjadi seorang yang lebih sabar dan bersyukur dalam hidup.

“Sebab utama saya berpuasa mungkin kerana saya dikelilingi rakan-rakan Muslim dan mereka begitu menyokong apabila saya mahu bersama-sama berpuasa dengan mereka.

“Pada awalnya agar sukar apabila perlu menahan lapar dan dahaga tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dan dapat berpuasa sehingga waktu berbuka,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di Batu Pahat, hari ini.

Ah Lu yang bekerja sebagai jurujual di kompleks beli belah berkata, ketika waktu berbuka dia akan berbuka bersama-sama rakan Muslim yang lain dan akan mencuba pelbagai menu menarik yang dijual di bazar Ramadan.

“Saya begitu seronok apabila rakan-rakan yang lain mengajak saya untuk berbuka bersama-sama mereka dan mencuba pelbagai makanan yang dijual di bazar Ramadan.

“Biasanya sebelum waktu Subuh saya juga akan bersahur dan saya juga gemar bersahur dengan memakan buah kurma,” katanya.

Ah Lu berkata, setiap kali berpuasa di bulan Ramadan, dia dapat mengawal emosi dan sikap barannya dengan lebih banyak bersabar disamping pada masa yang sama dapat menjaga kesihatan dirinya.

“Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, rakan-rakan Muslim akan mengajak saya untuk sama-sama menyambut perayaan berkenaan dan saya turut akan mengenakan pakaian baju Melayu bersama mereka.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah suasana harmoni apabila saya dapat meraikan bulan Ramadan dan Syawal bersama rakan-rakan Muslim walaupun kami berlainan pegangan agama dan bangsa,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 2:56pm
d