mutakhir

'Syukur... dapat baju raya'

Oleh Siti Rohana Idris

SETIAP kali Aidilfitri, Nik Norsuhaila Nik Zulkifli dan adiknya Nik Norisah dari Kampung Pasir Pekan dekat Tumpat hanya mampu memakai baju raya sumbangan orang ramai sejak lebih lima tahun lalu.

Walaupun hanya menerima sumbangan sepasang sahaja baju raya, Nik Norsuhaila, 11, dan Nik Norisah, 9, berasa amat gembira dan bersyukur.

Menurut Nik Norsuhaila, keluarganya tidak mampu menyediakan kelengkapan hari raya kepada mereka kerana kemiskinan.

“Bapa kami sudah lama menghilangkan diri dan emak pula tidak bekerja kerana tiada pengangkutan.

“Kami hanya bergantung hidup kepada nenek yang bekerja dengan sebagai tukang sapu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan seorang sepupu yang tinggal bersama,” katanya.

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan itu ditemui ketika membeli belah hasil tajaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan ‘The Third Force’ di pasar raya Ten Ten di Tumpat, hari ini.

Sementara itu, Nik Norisah berkata, selain dia dan Nik Norsuhaila, dua lagi adik beradiknya turut menerima sumbangan sama dan pembelian sudah dibuat pada hari sebelumnya.

Murid Tahun Tiga sekolah yang sama itu berkata, baju raya yang disumbangkan itu dipakai pada hari raya pertama dan hari berikutnya, dia dan adik beradiknya kembali kepada pakaian harian mereka.

Menurutnya, bukan sahaja pakaian, biskut raya juga disumbangkan orang ramai dan walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya ia dapat memeriahkan Aidilfitri buat mereka sekeluarga.

“Kami amat bersyukur atas pemberian ini dan bagi kami, cukuplah jika kami dapat menyambut Aidilfitri sehari,” katanya.

Pembelian baju raya itu diuruskan wakil [The Third Force’, Faizah Qemerzaman dan Ezani Abdul Kadir yang membawa 11 anak prihatin NGO itu yang terdiri daripada anak yatim dari golongan asnaf.

Faizah berkata, program pembelian baju raya dianjurkan sejak empat hari lalu dan sehingga hari ini, seramai 45 anak yatim sudah menerima bantuan itu hasil sumbangan orang ramai.

“Kami menyasarkan seramai 100 anak yatim bakal menerima bantuan baju raya sekiranya lebih ramai penderma sudi memberikan sumbangan.

“Menjelang Syawal nanti, kami juga akan agihkan biskut raya untuk golongan asnaf ini supaya mereka dapat merasai hari raya seperti orang lain dengan adanya juadah pelbagai jenis makanan yang tersedia,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 3:22pm
d