mutakhir

Kerajaan jangan semai politik kebencian

Oleh Rohaniza Idris

KERAJAAN diminta tidak terus mengetengahkan isu yang menanam politik kebencian sebaliknya menumpukan usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada pemerhatian beliau kerajaan kini hanya sibuk menghentam kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menanam politik kebencian dan mengutuk apa yang sudah dilakukan.

Katanya, sudah sampai masanya kerajaan melihat ke hadapan dan bekerja kerana itu yang diinginkan rakyat.

“Rakyat sudah memilih dan memberi tanggungjawab kepada Pakatan Harapan (PH) maka gunakan peluang dan kesempatan ini untuk menunaikan segala janji kepada rakyat.

“Rakyat inginkan masa depan yang lebih baik, jadi buatlah perubahan untuk masa depan negara ini kerana rakyat boleh menilai, ” katanya ditemui di lobi Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memulakan tugas hari ini selepas menunaikan umrah minggu lalu.

Hishammuddin yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, dalam tempoh empat minggu ini tidak banyak yang kerajaan PH laksanakan.

Katanya, sehingga hari ini pun mereka masih gagal membentuk barisan Kabinetnya yang lengkap.

“Jangan cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menunjukkan kebencian kepada kerajaan terdahulu. Rakyat boleh menilai dan kini mereka memerhatikan gerak geri kerajaan.

“Tunjukkan perubahan yang ingin di bawa dengan cara yang berhemah dan laksanakan dengan baik bukan tanamkan kebencian, ” katanya.

Diminta mengulas beberapa keputusan kerajaan yang tidak konsisten, katanya rakyat boleh menilai sendiri.

Katanya, rakyat tidak inginkan kerajaan yang tidak berbuat apa-apa untuk empat minggu ini.

“Rakyat mahu kerajaan yang berfungsi untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 4:41pm
d